@ KPDNKK PANTAU “PM TEPI”






PUTRAJAYA, 14 Ogos 2017 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan menerusi akhbar NST pada 3 Ogos 2017 memberi amaran kepada peniaga dalam talian dan mana-mana web perniagaan supaya memaparkan harga barangan yang dijual dan maklumat produk dengan jelas seperti apa yang pengguna ingin tahu, lapor NST.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK, Dato’ Mohd Roslan Mahayudin berkata, tindakan ini adalah bagi melindungi hak pengguna selain undang-undang sedia ada memaksa untuk peniaga meletakkan harga dan maklumat barangan sebelum transaksi dilakukan. Penguatkuasa KPDNKK akan memburu mereka yang mengiklankan produk dalam talian yang tidak meletakkan tanda harga barang dijual samada sengaja atau tidak.

Penggunaan frasa “PM saya, sis”, “Done PM” adalah antara kata kunci yang membuatkan penguatkuasa dapat mengesan kepada peniaga gagal memaparkan tanda harga. Peniaga dalam talian kini akan diperhatikan sama seperti yang dilakukan kepada peniaga konvensional yang lain dan hukuman akan dikenakan jika didapati melakukan kesalahan.



Peniaga perlu mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dengan perlu memaparkan maklumat seperti berikut:

a. Harga perlu dibayar

b. Nama penjual atau syarikat
c. Nombor Pendaftaran Perniagaan
d. Maklumat untuk dihubungi seperti nombor telefon atau alamat atau emel
e. Keterangan produk
f. Kaedah pembayaran
g. Terma dan syarat
h. Anggaran masa penghantaran

Untuk makluman, undang-undang ini dikuatkuasakan setelah sekian lama memberi kelonggaran kepada peniaga untuk menyesuaikan diri. Perkara ini penting dalam memastikan hak dan pengguna dilindungi dengan baik sekaligus memudahkan pengguna membuat keputusan pembelian selepas mendapat segala maklumat yang dipaparkan tanpa sebarang caj tersembunyi. 

Sebagai contoh, jika seseorang menjual kucing, dia mesti memaparkan harga yang mahu dijual dan tidak lagi menggunakan frasa “PM jika berminat”.

Pihak kementerian tidak mempunyai masalah dengan peniaga e-dagang yang lain seperti Zalora atau Lazada kerana mereka masih patuh kepada undang-undang yang ditetapkan.

Kementerian sentiasa menggesa orang ramai supaya memberi kerjasama untuk memastikan para peniaga mematuhi undang-undang yang ditetapkan. Sebarang maklumat atau aduan, boleh terus berhubung dengan Bahagian Penguatkuasaan di talian 1-800-886-800.

Individu yang gagal mematuhi lapan ketetapan yang telah disenaraikan oleh kementerian boleh didenda di bawah Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 dengan penalti seperti berikut :
Penalti Individu:
Kesalahan pertama denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, atau kedua-duanya sekali. Kesalahan kedua denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Penalti Pertubuhan Perbadanan:
Kesalahan pertama denda tidak melebihi RM100,000. Kesalahan kedua denda tidak melebihi RM200,000.

Kesalahan berterusan:

Denda tidak melebihi RM1,000 sehari bagi setiap hari atau sebahagian hari kesalahan berterusan selepas sabitan bagi individu atau pertubuhan perbadanan.





Comments